Wednesday, 23 May 2012

Cara Mengatasi Masalah Yang Berkaitan Dengan Penyusuan Ibu

Selepas melahirkan anak 5 hari yang lalu, Susan menghadapi masalah menghasilkan susu. Dia telah cuba memerah susu dengan menggunakan pam tetapi masih tidak berjaya. Susan berasa sedih kerana dia memang ingin menyusukan bayinya. Tambahan pula, ini adalah bayi pertama. Sekiranya anda menghadapi masalah penyusuan ibu, seperti Susan, jangan berputus asa. Doktor-doktor dan pakar pemakanan di seluruh dunia bersetuju bahawa susu ibu adalah paling baik untuk bayi. Susu ibu adalah makanan yang paling lengkap kerana ia membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan oleh bayi bagi tumbesaran. Ia juga mengandungi antibodi yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit-birit, batuk dan selsema.
Seperti ibu-ibu lain, anda juga boleh menghasilkan susu. Proses ini, dinamakan laktasi, bergantung kepada keperluan dan permintaan bayi.

Semasa bayi menghisap, puting anda akan dirangsang. Mesej akan dihantar kepada otak yang akan menghasilkan suatu hormon yang dikenali sebagai prolaktin. Hormon tersebut memulakan penghasilan susu dalam payudara anda. Semakin kerap bayi anda menghisap, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan, dan lebih banyak hormon bererti lebih banyak susu yang terhasil. Apabila bayi menghisap, ini juga akan merangsangkan pengeluaran hormon oksitosin yang menyebabkan susu mengalir keluar (sila rujuk kepada rajah di sebelah).
Susu pertama yang anda hasilkan dikenali sebagai kolostrum. Ia berwarna kekuningan dan mengandungi kandungan lemak yang rendah. Susu kolostrum kaya dengan karbohidrat, protein dan antibodi yang boleh menolong mengekalkan kesihatan bayi.

Masalah-masalah Yang Berkaitan Dengan Penyusuan Ibu:
Masalah 1: “Payudara saya terlalu kecil untuk menghasilkan susu!”
Jangan risau, saiz tidak penting sekali. Walaupun anda mempunyai payudara yang kecil, anda masih boleh menghasilkan susu. Saiz bukan satu faktor yang menentukan proses penghasilan susu.
Masalah 2: “Susu saya mengalir dengan lambat sekali!”
Sekiranya anda rasa pengaliran susu anda terlalu lambat, ini mungkin disebabkan oleh refleks yang dikenali sebagai “let-down” refleks. Ini adalah refleks yang memastikan susu anda mengalir semasa bayi menghisap. Apa yang berlaku ialah apabila anda berasa letih atau bimbang, refleks ini akan terjejas. Ini mungkin menjelaskan mengapa pengaliran susu anda lambat. Oleh itu, sebelum anda menyusukan bayi, cuba bertenang dan berehat supaya anda tidak akan mempengaruhi refleks itu.
Masalah 3: “Puting saya rasa sakit!”
Semasa bayi anda menghisap dalam kedudukan yang salah, puting anda mungkin akan berasa sakit. Yang penting sekali ialah anda tahu kedudukan dan cara penyusuan yang betul. Keseluruhan puting dan bahagian sekelilingnya (areola) patut dimasukkan ke dalam mulut bayi. Selain daripada itu, anda juga boleh memperolehi ubat dari doktor untuk melegakan sakit anda. Jangan memakai coli sekiranya anda masih rasa sakit. Jika keadaan serius, minta nasihat dari doktor atau pakar.
Masalah 4: “Payudara saya bengkak!”
Payudara anda boleh menjadi bengkak disebabkan oleh terlalu banyak susu yang terkandung di dalamnya. Dalam hal ini, anda boleh memerah keluar sedikit susu terlebih dahulu.Cuba urut payudara anda dengan perlahan-lahan. Anda juga boleh menggunakan tuala untuk memanaskan payudara anda atau tambahkan kekerapan menyusukan bayi anda.
Masalah 5: Saluran susu anda tersekat.
Payudara anda mengandungi 15 hingga 20 saluran yang menghantar susu kepada puting. Jadi, jika salah satu saluran itu tersekat, ia boleh menyebabkan satu ketulan dan menjejaskan pengeluaran susu. Dalam situasi ini, apa yang anda perlu buat ialah:
  • Biarkan bayi anda menghisap pada payudara yang tersekat.
  • Sebelum penyusuan, urutkan bahagian yang tersekat dan panaskannya supaya saluran dapat mengalirkan susu.
  • Anda juga boleh memerah susu dengan menggunakan tangan atau pam.
Masalah 6: Anda mengalami mastitis.
Saluran susu yang tersekat boleh menyebabkan infeksi mastitis. Anda perlu berjumpa dengan doktor. Mastitis boleh dirawat dengan antibiotik. Biasanya, anda masih boleh menyusukan bayi. Ia tidak akan membawa kesan buruk kepada bayi. Walau bagaimanapun, payudara anda akan berasa sakit ketika menyusukan bayi.
Masalah 7: “Saya perlu bekerja!”
Mungkin anda rasa anda tidak akan dapat menyusukan bayi apabila bekerja semula. Sebenarnya, anda boleh memerah susu dan menyimpannya selama 3 hari dalam peti sejuk. Pengasuh bayi boleh memberikan susu yang telah diperah kepada bayi walaupun anda tidak berada di rumah.
Masalah 8: “Bayi saya tidak mahu menghisap susu!”
Anda harus bersabar jika bayi anda tidak mahu menghisap susu atau menangis dengan tidak hentihenti. Jangan berasa cemas dan menghentikan pemberian susu ibu kerana adalah normal bagi bayi anda mengalami fasa ini. Sekiranya ia berlaku kepada bayi anda, cuba cari punca kepada masalah itu dan cara mengatasinya.
Cuba tanya diri anda:
Adakah bayi sakit kebelakangan ini?
Sekiranya bayi sakit, dia akan hilang selera.
Adakah anda berasa terlalu letih atau bimbang?
Peringatan: keletihan dan kebimbangan boleh mempengaruhi refleks “letdown” anda. Dengan itu, cuba lebihkan rehat. Sebelum menyusukan bayi, anda boleh berbaring dan minum minuman panas.
Adakah bayi anda enggan menghisap susu pada waktu siang?
Kebanyakan bayi adalah lebih aktif pada waktu siang. Oleh itu, mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap penyusuan. Jika demikian, cuba susukan bayi anda dalam keadaan yang lebih tenang dan sunyi. Satu lagi penjelasan ialah bayi anda mungkin berasa terlalu panas dan kurang selesa.
Adakah bayi anda menghisap sekejap sahaja dan seterusnya menangis?
Bayi anda perlu sendawa. Oleh itu, cuba menyusukan bayi anda dalam kedudukan yang betul dan selesa.
Adakah bayi menghisap untuk seketika dan seterusnya menangis?
Jangan berasa terlalu risau. Dia mungkin berasa kurang sabar dengan pengaliran susu anda. Apabila ini berlaku, bayi hanya boleh menangis. Mungkin anda boleh cuba menyusukan bayi anda semasa dia masih mengantuk dan tidak akan berasa kurang sabar.
Masalah 9: “Bagaimana saya tahu bayi mendapat susu yang mencukupi?”
Sekiranya anda tidak pasti, anda boleh membawa bayi kepada doktor untuk memeriksa berat badannya. Doktor akan menimbang berat badan bayi sebelum dan selepas penyusuan ibu untuk memastikan berapa auns yang dihisap. Jika anda masih berasa ragu-ragu, rujuklah kepada garis panduan ini:
  • Dalam satu hari, bayi anda akan kencing sebanyak 6 hingga 8 kali. Warna air kencing seharusnya kuning muda.
  • Bayi anda juga akan membuang air besar sekurang-kurangnya dua kali sehari. Najis bayi yang diberi susu ibu biasanya kelihatan kekuningan.
  • Setelah 2 minggu dilahirkan, berat badan bayi anda akan meningkat. Dalam 3 bulan yang pertama, bayi anda akan bertambah berat badan sebanyak 4 hingga 7 auns (120-200 gram) setiap minggu.
Jika anda masih bimbang, anda boleh:
  • Makan dengan baik.
  • Minum banyak cecair seperti air kosong, susu atau jus buah-buahan.
  • Cuba rehat sebelum dan selepas penyusuan ibu.
  • Sebelum menyusu bayi, urutkan payudara anda.
  • Akhir sekali, lebih yakin pada diri anda!
  • Ingat! Apabila bayi anda menyusu dengan lebih kerap, anda akan menghasilkan lebih banyak susu!



Terima kasih kerana membaca entri ini.
Sila klik Like jika anda suka entri ini.

Tuesday, 22 May 2012

Membuat Keputusan : Apa Yang Perlu Anda Tahu & Lakukan...

Apabila anda sudah membuat keputusan untuk menyusukan bayi, dapatkanlah semua maklumat tentang penyusuan susu ibu. Bab ini membantu meleraikan salah tanggapan anda terhadap penyusuan susu ibu dan memberi panduan kepada anda dalam membuat pengurusan yang perlu dengan suami, ahli keluarga dan kumpulan penjagaan kesihatan.
Lapangkan minda
Penyusuan susu ibu melibatkan persediaan psikologi dan juga fizikal. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menjayakan penyusuan susu ibu:
    • Amalkan sikap yang positif dan yakin bahawa anda boleh dan akan berjaya.
    • Rancang berapa lama anda mahu menyusukan bayi.
    • Berbincang dengan suami dan jika boleh, hadiri ceramah penyusuan susu ibu atau kelas antenatal di mana penyusuan diajar bersama dengan suami.
    • Libatkan diri anda dengan orang-orang yang menyokong penyusuan susu ibu. Jangan tawar hati dengan komen-komen negatif daripada mereka yang kurang memahami atau mempunyai tanggapan yang salah berkenaan penyusuan susu ibu.

Salah Faham Tentang Penyusuan Susu Ibu
1.“Saya tidak mahu payudara yang kendur!”
Yang sebenarnya, penyusuan susu ibu membantu anda kembali kepada bentuk badan asal dengan lebih cepat. Wanita yang payudaranya kendur selepas bersalin menyalahkan penyusuan susu ibu sedangkan hakikatnya ia disebabkan oleh faktor usia yang meningkat dan graviti.
2.“Penyusuan susu ibu menyusahkan.”
Penyusuan susu ibu sebenarnya memudahkan anda. Anda tidak perlu membawa peralatan, tidak perlu risau tentang bekalan susu, penyimpanan atau penyediaan susu. Tambahan lagi, penyusuan susu ibu boleh dilakukan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan ia tidak melibatkan kos!
3.“Penyusuan susu ibu mudah. Apa lagi yang hendak dipelajari?"
Penyusuan susu ibu memang semulajadi dan mudah tetapi ia juga satu kemahiran yang perlu dipelajari. Dengan mempelajari sebanyak yang anda boleh, anda akan lebih bersedia dan tidak mudah mengalah apabila timbul masalah.
4.“Menyusukan bayi? Jangan haraplah. Tidakkah ia menyakitkan?”
Hakikatnya, pada awalnya anda mungkin rasa bengkak sedikit. Akan tetapi, ia akan hilang selepas beberapa hari. Jika anda rasa sakit, ini mungkin disebabkan bayi tidak menghisap puting dengan betul.
5.“Tapi wanita yang berpayudara kecil tidak boleh menghasilkan susu yang mencukupi!”
Wanita yang berpayudara kecil boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Saiz payudara dipengaruhi oleh tisu lemak manakala penghasilan susu bergantung kepada saiz kelenjar mamari di dalam payudara. Kelenjar mamari adalah sama tanpa mengira saiz payudara.


Buat perancangan
Maklumkan kepada suami dan ahli keluarga tentang keputusan anda untuk menyusukan bayi:
  • Minta supaya bayi tidak diberikan air atau susu formula kecuali atas sebab perubatan.
  • Bayi tidak sepatutnya diberikan puting kosong kerana ini boleh menyebabkannya keliru puting dan tidak mahu menyusu dari payudara ibu.
Anda juga perlu memaklumkan kumpulan penjagaan kesihatan:
  • Pastikan mereka tahu yang anda mahu menyusukan bayi sejurus selepas selamat melahirkan bayi.
  • Minta supaya bayi sebilik dengan anda di hospital agar anda boleh berada bersamanya dan menyusukannya apabila dia lapar.

SUMBER :
http://www.mypositiveparenting.org/bm/cn_breastfeeding.html




Terima kasih kerana membaca entri ini.
Sila klik Like jika anda suka entri ini.

Saturday, 19 May 2012

Khasiat Susu Ibu

SUSU IBU KHASIATNYA TIDAK TERNILAI
KELAHIRAN bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.
Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.
Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah AlBaqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja “maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu.”





Susu ibu menyelamatkan nyawa

Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.
Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.
Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.
Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.
Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.

Mengapa tidak menyusu?
Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.
Sekiranya anda salah seorang yang menghuraikan alasan tersebut, jelas pengetahuan anda mengenai susu ibu terlalu cetek. Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

Susu ibu menguntungkan wanita
Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.
Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.
Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.
Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.
Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.
Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.
Tanggapan banyak buah dada jatuh atau melendur kerana menyusu badan juga kurang tepat. Bentuk buah dada berubah semasa hamil dan mungkin mereka tidak bercoli, diikuti tarikan graviti ataupun usia semakin lanjut. Untuk itu pastikan ibu-ibu memakai coli sesuai sepanjang tempoh kehamilan dan sewaktu menyusui bayi.
Sumber :
WANITA, MEI 1996, BIL:322,M/S 122-124


Terima kasih kerana membaca entri ini.
Sila klik Like jika anda suka entri ini.